Luahan Penulis Bukan Bestseller

Luahan Penulis Bukan Bestseller

Aku berkarya dalam Bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah. Aku menulis cerpen dan cerita berantai. Karya-karya aku hanya untuk bacaan kawan-kawan dan keluarga, serta pertandingan di peringkat sekolah. Ketika di Tingkatan Dua, aku mula menulis jurnal peribadi. Di Tingkatan Tiga pula, aku menulis sebuah novel Bahasa Inggeris mengenai cinta dan persahabatan. Judulnya, First Comes Friendship, Then Comes Love (klise, kan? 😅). Aku simpan manuskrip tersebut hingga ke hari ini. Novel ini telah dibaca oleh kawan-kawan (yang baca, tahulah ya ... 😆)

 

Pernah sekali, aku mencuba nasib dengan menyertai pertandingan menulis Dublin Literary Awards. Karya aku tak terpilih tetapi aku mendapat pengalaman yang cukup bermakna. Di sekolah, pernah juga dapat hadiah berupa lawatan dan sijil. Semasa di Tingkatan Enam, aku menulis esei sempena Hari Pengguna Malaysia. Dapat sijil lagi.

 

Selepas menamatkan pengajian di peringkat universiti, aku mula berkarya dalam Bahasa Malaysia secara aktif sejak hujung 2012. Karya pertama diterbitkan pada Oktober 2014, sekali gus mempertahankan aku sebagai novelis. Sekarang, aku sudah berjaya menghasilkan empat buah novel (sudah terbit) dalam bentuk cetak dan e-book, lebih daripada 10 cerpen, lebih daripada tiga esei, artikel, dan sajak yang berjaya diterbitkan oleh media cetak dan media elektronik seperti majalah dan buku. Aku pernah menjadi wartawan bisnes dan politik (Tak lama pun. Sekadar untuk menimba pengalaman), jadi adalah juga portfolio artikel yang aku masih simpan.

 

Dalam semua karya aku, aku mengetengahkan isu-isu sosial, adat resam dan budaya masyarakat India, serta ilmu mengenai bidang-bidang kerja seperti agama, undang-undang, perubatan, sastera, dan kesenian. Sesuatu yang aku kaji dan memahami, aku kongsikan menerusi karya.

 

Mesti anda tertanya-tanya, "Mengapa aku meluahkan semua ini?" 😅

 

Aku pun tertanya-tanya!

 

  • Mengapa anda tidak membeli buku-buku aku? Apakah anda tidak berminat untuk mengenali aku dengan lebih dekat?
  • Adakah dengan membaca karya-karya aku, anda takut anda akan terpengaruh dengan fahaman aku?
  • Tidak layakkah aku menjadi penulis?
  • Teruk sangatkah bahasa aku sehingga anda tidak sudi membaca?
  • Apakah penulisan aku (menggunakan BMT)  tidak menambat hati anda? Bukankah kita sebagai rakyat Malaysia harus memartabatkan bahasa kebangsaan? Itu yang aku lakukan tetapi mengapa TIDAK ADA sambutan?
  • Perlukah aku menulis novel-novel yang menggunakan bahasa rojak dan slanga agar mendapat tempat dalam hati pembaca?
  • Jujur aku kata, aku sedih dan kecewa kerana tidak menerima sokongan seperti yang diharapkan. Ya, anda LIKE dan ucap tahniah apabila aku mengumumkan penerbitan karya baharu. Namun, bolehkah LIKE dan ucapan anda boleh membayar bil dan hutang aku?

 

Aku insan biasa yang hanya berharap bahawa karya-karya aku akan dibaca oleh semua orang. Jika ada yang sudi membaca, mohon hubungi aku untuk mendapatkan karya-karya aku. Aku memerlukan dana untuk mencetak novel, membayar bil-bil tertunggak, perubatan, dan hutang pengajian.

 

Maaf jika terkasar bahasa. Ini sekadar luahan peribadi yang tidak ditujukan kepada sesiapa pun secara khusus. 🙏🙏🙏

 

Salam penulisan,

Salam sayang,

 

Thanusya Shanmuganathan

a.k.a Meera Natasya